Pages

Wednesday 12 February 2014

Pertunangan


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيْمِ
Assalamu'alaikum




Tunangkan daku... Adakah semudah itu? Pertunangan merupakan menuju pra-perkahwinan. Dalam bahasa Arab, tunang disebut sebagai khitbah. Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh As-sunnah, mentakrifkan khitbah sebagai proses lelaki meminta daripada pihak perempuan untuk berkahwin dengan cara-cara atau jalan-jalan yang diketahui masyhur di tempat masing-masing.

Hukum bertunang dalam islam adalah harus. Namun sebahagian ulama seperti Imam Syafie dan Dr. Abdul Karim Zaidan mengklasifikasikannya sebagai sunat atas dasar keperluan mengenali hati budi pasangan. Ini kerana perkahwinan merupakan akad perjanjian bersama buat selama-lamanya. Pengertian tunang, melamar, masuk meminang, mengintai ruang, memetik bunga di taman, semuanya ada takrifan tersendiri mengikut adat dan tempat masing-masing. Mengapa islam menganjurkan pertunangan? Jawapan paling mudah, kerana itu adalah salah satu "langkah awal" untuk menuju gerbang pernikahan. Pertunangan juga merupakan proses perkenalan antara perempuan dan lelaki,kerana itu ikatan pertunangan ini tidak perlu diwar-warkan.

Tujuannya? ini jawapan Nabi SAW

"Jika terlintas di hati seseorang untuk melamar perempuan, maka diharuskan untuk dia melihatnya (perempuan yang ingin dilamar)."
(Hadis riwayat Abu Daud)

Dan Nabi SAW bersabda kepada salah seorang sahabat yang bernama Al-Mughirah ketika mana sahabat itu ingin melamar seorang wanita,

"Lihatlah kepada perempuan tersebut. Sesungguhnya perbuatan itu akan menimbulkan perasaan kasih sayang dan penyatuan hati di antara kedua-duanya."
(Hadis riwayat Imam Tirmizi)

Maka dapat kita fahami wahai hati, bahawa pertunangan itu adalah suatu proses membina rasa kasih untuk menuju gerbang perkahwinan. WAJIB difahami, hak seorang lelaki ke atas tunangnya hanyalah sekadar, orang lain tidak boleh meminang tunangannya itu tanpa beliau memutuskan pertunangannya itu telebih dahulu. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW,

"Tidak halal bagi kamu penjualan di atas penjualan orang lain dan tidak halal bagi kamu pertunangan di atas pertunangan orang lain."


Tidak keterlaluan andai kita simpulkan pertunangan ini ialah proses membina rasa kasih dan motivasi yang baik untuk menuju ke gerbang pernikahan. Pertunangan ini juga dapatlah dilihat seolah-olah sebagai proses "reserved". Hal ini kerana, sebaik si dia MENERIMA pinangan lelaki, maka keutamaan adalah kepada lelaki itu. Si wanita tidak boleh menerima pinangan-pinangan lain sewenang-wenangnnya, ibarat memilih buah-buahan di pasar. Jika tidak hadir rasa keserasian di dalam pertunangan itu, maka putuskan dengan cara berhikmah. Bukannya sekadar membiarkan tergantung, dan "membuka tawaran" kepada pinangan lain pula. Namun sekiranya perbuatan tersebut dibuat tanpa sebab maka hukumnya adalah makruh.


"...dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti diminta memenuhinya."
(Surah Al-Israk,34)

Abdullah bin Umar bahawa Nabi SAW bersabda,
"Empat perkara yang sesiapa memilikinya maka ia adalah munafik yang jelas. Sesiapa yang memiliki salah satu daripada sifat itu, ia memiliki karakter munafik, hingga ia meninggalkannya. Sekiranya, diberi kepercayaan, ia mengkhianati, sekiranya berbicara, ia berbohong, sekiranya ia berjanji ia mengingkari, dan sekiranya berdebat, ia bertindak keji."
(Riwayat Bukhari)

Adapun berkaitan hantaran pertunangan, mengikut Mazhab Syafie, hantaran diberi atas dasar janji pernikahan maka hantaran tersebut perlu dipulangkan secara mutlak sama ada perpisahan tersebut disebabkan perempuan ataupun lelaki. Namun sekirannya ianya dikira sebagai hadiah pertunangan maka tidak ada hak si lelaki mahupun sebaliknya untuk menuntutnya semula.



Baiklah kita teruskan lagi. Hak seorang lelaki ke atas tunangnya HANYALAH ITU SAHAJA. Tunang bukanlah tiket untuk lelaki bermalam di rumah tunangnya tanpa ada sesiapa. Tunang bukanlah tiket bagi pasangan itu mendaki ke Genting Highland untuk "bergurau senda". Tunang bukanlah tiket untuk pasangan itu bercuti di Langkawi hanya berdua. Bagi Islam, tunang sekadar itu. Dan TIDAK LEBIH DARIPADA ITU! Sabda Nabi SAW,

"Tidak halal bagi seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita yang tidak halal buatnya kecuali ditemani mahramnya. Maka pihak ketiga yang ada bersama-sama ketika berdua berkhalwat itu adalah syaitan."
(Hadis riwayat Tirmizi) 

Dan bagi diri yang jahil ini, daku merasakan pertunangan adalah satu proses motivasi yang sangat baik untuk menuju ke gerbang perkahwinan. Apabila seseorang itu bertunang, dia akan merasakan dirinya lebih perlu bekerja keras untuk berkahwin. Dia akan menyiapkan ilmu agamanya sebanyak yang mungkin. Dia akan mencari kekuatan ekonominya semampu yang boleh sebagai pemangkin.

Seharusnya Islam begitu. Hikmah pertunangan adalah demikian. Tetapi, mengapa kita menyongsangkan hikmah pertunangan itu? Mengapa pertunangan iu menjadi lesen besar untuk kita bebas seolah-olah sudah bernikah 10 tahun yang lalu? Itu yang harus kita muhasabahkan.

Bagi golongan "orang lama" pula, usahlah dalam proses pertunangan itu, adat mendahului syariat. Jangan sampai begitu! Ada sekolompok adat, cincin pertungan haruslah tidak kurang daripada 1K! Ada sekumpulan adat lagi, majlis pertunangan disambut seolah-olah majlis ambang kemerdekaan! Malah lebih parah, ada sekumpulan adat lagi yang memberi lesen pasangan tunang itu untuk bergambar di sawah ladang, di rumah usang, di tasik milik orang dan di atas basikal terbuang. Kononnya sebagai kenangan, lalu dimuatkan menjadi video dan ditayangkan pada pra perkahwinan!

Ingatlah.. Ini bukan cara Islam! Malah ini bukan adat ketimuran. Daripada siapa adat ini datang? Pulangkan semula pada mereka. Kita punyai syariat yang cukup indah. Kita miliki adat yang wasatiyyah (kesederhanaan). Cukuplah... Jangan sampai pertunangan putus di tengah jalan, cincin di jari terpaksa dipulangkan, kos persiapan terbang melayang, yang syariat tidak kesampaian dan yang adat jatuh berciciran.

Pada zaman sekarang pula, ikatan pertunangan itu dilangsungkan apabila perempuan dan lelaki telah lama "berkawan" tujuannya untuk mencari keserasian. Berkawan sudah lama sehingga 7 tahun baru bertunang. Bertunang pula diikatnya tempoh yang lama. Sudahnya tali yang mudah rapuh dan tidak kuat ini terputus di tengah jalan. Sudah lama berkawan baru tali pertunangan diikat kerana apa? Sedangkan pertunangan ialah perkenalan antara lelaki dan perempuan untuk mencari keserasian. Hikmah pertunangan dirahsiakan pula ialah jika tali pertunangan ini terputus atas sebab tidak ada keserasian antara lelaki dan perempuan,tidaklah silaturrahim antaa dua keluarga ini tidak terputus. Kerana pada masa kini, apabila putus tali pertunangan maka putuslah hubungan antara kedua pihak keluarga. Kemudian terdengarlah mulut orang soksek-soksek bertanya tentang keburukan perempuan tersebut sehingga boleh terputus tali pertunangan. Disebabkan itu, pertunangan harus dirahsiakan di dalam islam.

Allahualam.. :)



Sebab sekarang musim cuti mesti ramai yang berkahwin dan bertunang (sempat tulis tunang je,huhu), jadi pada yang mahu bertunang selamat bertunang saya ucapkan :)


No comments:

Post a Comment